Dunia

Rabu, 1 April 2009

Minda Pengarang: Kepentingan pelajar perlu jadi keutamaan pendidik

Berita Harian

PADA zaman 1950-an, 1960-an dan 1970-an, guru adalah pemimpin masyarakat di luar bandar dan pedalaman serta dianggap sebagai bijak pandai. Masyarakat sekeliling akan mencari guru untuk mengisi borang mencari kerja, diminta menulis surat permohonan untuk projek kecil luar bandar kepada kerajaan atau wakil rakyat dan sebagai rujukan pelbagai perkara sama ada isu politik, ekonomi dan sosial. Pendeknya, guru begitu dihormati, disanjung dan dipuji. Malah, kehadiran guru terutama guru besar di kampung akan menyebabkan anak muridnya lari bertempiaran kerana bimbang diambil tindakan disiplin keesokan harinya, jika dilihat melepak pada waktu malam atau menghisap rokok. Nescaya, apabila ada di kalangan pendidik bertanding merebut jawatan tertentu dalam parti politik pada peringkat bahagian atau cawangan, maka mudah bagi mereka untuk menang. Tidak hairanlah apabila ramai perwakilan ke perhimpunan agung Umno terdiri daripada kalangan pendidik. Bagaimanapun, itu senario dulu dan sejak dekad 1990-an, kelibat guru sudah tiada atau terlalu sedikit sama ada pada Perhimpunan Agung Umno atau mereka yang memegang jawatan pada peringkat bahagian. Senario yang sama juga berlaku di pihak pembangkang meskipun ada guru menyokong dari belakang secara bersembunyi. Keadaan ini ada kaitan dengan larangan kerajaan supaya guru siswazah tidak dibenar bergiat aktif dalam politik. Sebaliknya, guru bukan siswazah dibenar berpolitik dengan syarat mendapat kebenaran daripada pengetua dan guru besar masing-masing.

Sekarang Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mahu membuka semula peluang itu kepada guru untuk aktif berpolitik. Beliau yang juga Naib Presiden Umno yang baru dalam ucapan penggulungannya pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno, Sabtu lalu mencadangkan pendidik, terutama guru dalam Kumpulan A diberi kelonggaran dan kebenaran untuk terbabit dalam aktiviti politik serta memegang jawatan dalam parti. Bagaimanapun, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, menolak cadangan itu kerana dikhuatiri boleh memecahbelahkan warga pendidik di sekolah dan berpendapat sesetengah guru mungkin taksub dengan parti yang disokong sehingga wujud sikap berpuak, sekali gus menjejaskan pelajar. Jika guru dibenarkan berpolitik, pegawai kerajaan dari kumpulan lain juga pasti akan menuntut hak yang sama, kata Ismail. Perkara ini sebenarnya perlu diperhalusi dengan lebih mendalam. Kini ada 354,933 guru di seluruh negara yang berkhidmat di 9,762 sekolah rendah dan menengah. Daripada jumlah itu, 182,554 guru berada dalam kategori A, yang layak untuk bergiat cergas dalam politik jika cadangan Hishammuddin itu diterima. Tidak semua mereka berminat dalam politik, tetapi tidak mustahil sebahagian mereka teruja dengan cadangan Menteri Pelajaran itu. Kita berpendapat, suara semua pihak termasuk masyarakat di peringkat akar umbi, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) perlu diambil kira sebelum cadangan itu diterima. Sebarangan keputusan dibuat, kepentingan pelajar hendaklah diutamakan.

Tiada ulasan:

Waktu Solat

Anak Jate

Anak Jate
Najmi Hakim

my girl

my girl
najwa solehah

Kampung Halamanku Di Angkasa

Kampung Halamanku Di Angkasa
Kampung Permatang Gading, Pasir Puteh, Kelantan

Ragam Kami